Rodrygo mampu ganti Neymar

in Sukan by

Rodrygo

PENYERANG Real Madrid, Rodrygo dilihat mampu membarisi kesebelasan utama Brazil bagi menggantikan Neymar dalam saingan Piala Dunia Qatar 2022.

Rakan sepasukannya, Casemiro berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pemain berusia 21 tahun itu mempunyai kualiti yang tersendiri bagi membantu skuad Brazil selepas skuad Selecao itu terpaksa melupakan khidmat Neymar yang mengalami kecederaan pada perlawanan pertama.

“Rodrygo membuka mata saya. Dia adalah bintang. Tuhan memberikannya kelebihan dalam bermain bola sepak.

“Ia membuatkan anda sangat terpesona melihatnya ketika setiap kali turun beraksi,” katanya.

Sebelum ini Neymar mengalami kecederaan ketika pasukannya melakar kemenangan 2-0 ke atas Serbia dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail.

Tonggak Paris Saint Germain (PSG) itu mengalami kecederaan buku lali selepas diterjah pada separuh masa kedua.

Dalam pada itu Casemiro berkata, meskipun mengakui kehilangan Neymar akan memberi kesan kepada jentera serangan Brazil, bagaimanapun tonggak tengah Manchester United itu percaya ramai pemain lain mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Neymar.

“Jika kami terus bercakap tentang Neymar, kami akan bercakap selama berhari-hari mengenai pemain itu. Dia (Neymar) adalah bintang pasukan, yang membuat perubahan.

“Tetapi kami mempunyai pemain terbaik lain. Kadang-kadang saya berasa kasihan kepada lawan kami memandangkan banyak pilihan yang kami ada,”ujarnya.