Saiz kabinet Anwar bergantung dua faktor

in Nasional by

Mohd Zawawi Ahmad Mughni. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SHAH ALAM – Persoalan sama ada pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim besar atau kecil bergantung kepada dua faktor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, faktor yang pertama adalah kompetensi dan keupayaan individu yang dilantik menjadi menteri.

“Seorang menteri yang mampu menggabungkan atau memimpin agensi-agensi kerajaan dan jabatan-jabatan berada di bawah.

“Keduanya, memenuhi keperluan parti-parti yang bergabung (membentuk kerajaan perpaduan). Mungkin timbul isu ketidakpuasan atau mereka mahu menuntut lebih (jawatan).

“Jadi, untuk memastikan kestabilan kerajaan ini tentunya Datuk Seri Anwar akan mengambil pelbagai faktor agar setiap parti yang bergabung dapat memainkan peranan dan berfungsi sebagai badan gabungan atau kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Sinar Live bertajuk ‘Cabaran Kabinet Kecil Anwar’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Ahad.

Turut menjadi panelis adalah Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan, Datuk Ismail Yusop manakala Fahiz Ariff bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu Mohd Zawawi turut berharap Bajet 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Anwar akan menumpukan kepada aspek perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

Mengambil contoh soal pendidikan di Lembah Klang katanya, sekolah-sekolah di kawasan ini padat dengan murid.

“Kawasan saya sendiri ada sekolah-sekolah yang muridnya mencecah 2,000 ke 3,000 orang. Satu kelas sampai ke 50 orang. Tentunya ini tidak efektif,” tegasnya.

Selain itu kata Mohd Zawawi, soal keselamatan juga merupakan elemen penting kerana ini menimbulkan keyakinan masyarakat kepada kehidupan yang harmoni dan sejahtera.

“Kita lihat hari ini bagaimana masyarakat dipanaskan dengan isu-isu sensitif. Curiga antara rakyat. Antara Melayu dan bukan Melayu saling mencurigai.

“Dan kalau tidak dibendung dengan lebih awal, saya bimbang perkara ini akan membengkak dan melebar sehingga menyebabkan ketidakstabilan dan ketidakharmonian di negara kita,” ujarnya.