Warisan Kedah sedia bantu kempen calon PH

in Politik by

Fadhil

ALOR SETAR – Parti Warisan (Warisan) Negeri Kedah akan turun membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.

Pengerusinya, Datuk Fadhil Hanafi berkata, beliau telah mengarahkan jentera Warisan Kedah membantu Dr Mohamad Sofee Razak untuk memperoleh kemenangan.

Beliau berkata, kemenangan calon terbabit di Padang Serai pada PRU15 akan menjadi hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selaras dengan kesediaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk bersama menyokong Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Maka, saya ingin memaklumkan bahawa jentera Warisan Kedah keseluruhannya turut berkempen dan memberi sokongan padu untuk memastikan kemenangan calon PH di Padang Serai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Fadhil memberitahu, Warisan Kedah juga menyambut baik kesediaan Mohd Shafie untuk menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri.

Tambah Fadhil, pendirian berkenaan diambil selaras dengan manifesto Warisan Kedah iaitu melahirkan perpaduan dan kesatuan ummah.

Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Anwar itu sepatutnya diberi sokongan oleh semua pihak terutama orang Melayu Islam.

Sementara itu, Ketua Biro Perhubungan Awam Warisan Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Anwar sewajarnya diberikan ruang dan peluang untuk mentadbir negara.

“Berikan beliau peluang untuk mentadbir negara dan memulihkan ekonomi serta masalah rasuah negara.Saya yakin dan percaya beliau akan dapat mengangkat kembali nama negara di persada antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Parti Warisan (Warisan) memutuskan untuk tidak bertanding di Parlimen Padang Serai yang akan diadakan pada 7 Disember depan.

Bagaimanapun, calon Warisan bagi Parlimen Padang Serai, Mohd Bakhri Hashim masih sah bertanding walaupun parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding di kerusi berkenaan memandangkan pencalonan beliau telah diterima.