FINA GP Malaysia: MS puas hati prestasi penerjun negara

in Sukan by

Nur Dhabitah (kiri) dan Pandelela Rinong.

PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MS) berpuas hati dengan prestasi dipamerkan skuad terjun negara pada Grand Prix (GP) Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) Malaysia (GP Malaysia) 2022.

Walaupun tanpa penyertaan antarabangsa terutama dari China, Setiausaha Agung MS, Mae Chen berkata, barisan penerjun negara telah mempamerkan aksi memberangsangkan pada kejohanan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Beliau berkata, berdasarkan pemarkahan juri, persembahan penerjun negara amat membanggakan dengan terjunan lebih mantap kecuali Ong Ker Ying yang masih baharu di pentas kejohanan.

Persembahan Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri lebih baik berbanding Sukan Olimpik Tokyo 2020, markah itu sekurang-kurangnya menghadiahkan mereka pingat gangsa,” katanya.

Mae berkata, bagi kategori lelaki, Jellson Jabillin dan Ooi Tze Liang turut memberikan aksi hebat untuk mencipta prestasi terbaik masing-masing bagi musim ini.

“Kita juga dapat lihat Kimberly Bong dan Enrique Maccartney Harold mula menunjukkan kebangkitan semula selepas menjalani pembedahan dan pemulihan.

“Namun, mereka masih perlukan sokongan ISN (Institut Sukan Negara) berhubung latihan mental bagi membantu mereka menangani lawan lebih kuat dalam saingan lebih besar tahun depan dan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024,” ujarnya.

Skuad terjun negara menyapu bersih lapan pingat emas dipertandingkan pada kejohanan yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil itu selepas dua tahun terhenti berikutan pandemik Covid-19.

Walaupun menyumbang mata ranking dunia oleh FINA, namun sejumlah peserta dari luar negara sahaja menyertai kejohanan berkenaan iaitu dari Australia, Korea Selatan, Mesir dan Indonesia. – Bernama