Ismail Sabri pernah tolak guna kenderaan kalis peluru

in Nasional by

Ruhaidini turut berkongsi gambar Ismail Sabri bersama satu hantaran di akaun Facebooknya pada Isnin.

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis perluru yang disediakan kerajaan untuknya.

Bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abdul Kadir mendedahkan, sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu.

Justeru katanya, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menolak menggunakan kenderaan rasmi iaitu Mercedes S600 bukan perkara luar biasa.

“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubah suai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri.

“Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubah suai,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat bagi kegunaan harian kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

Anwar memaklumkan beliau menolak untuk menggunakan kenderaan jenis Mercedes S600, yang telah dibeli dan diperoleh oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki Pejabat Perdana Menteri.