Jumlah kanak-kanak 9.19 juta pada 2022

in Nasional by

Jumlah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dianggarkan 9.19 juta tahun ini. (Gambar hiasan) – Foto 123rf

KUALA LUMPUR – Jumlah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dianggarkan 9.19 juta tahun ini terdiri daripada 4.75 juta lelaki dan 4.44 juta perempuan, menurut laporan Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2022 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Isnin.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah kanak-kanak itu meliputi 28.1 peratus daripada 32.65 juta jumlah penduduk Malaysia.

Komposisi kanak-kanak di bawah umur lima tahun pula adalah 2.39 juta atau 26 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia dengan kanak-kanak lelaki 1.22 juta dan perempuan 1.17 juta.

Beliau berkata, Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2022 dengan 41.6 peratus daripada jumlah penduduk Putrajaya iaitu 0.12 juta, diikuti Kelantan (35.3 peratus) dan Terengganu (34 peratus) manakala Pulau Pinang mencatatkan peratusan terendah iaitu 23.4 peratus.

“Bagaimanapun, Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tertinggi di Malaysia iaitu 1.81 juta diikuti oleh Johor (1.12 juta) dan Sabah (1.06 juta) sementara bilangan paling rendah direkodkan di Labuan iaitu 0.03 juta,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagi pelalian, Mohd Uzir berkata, empat liputan pelalian diberikan kepada bayi berumur kurang setahun mencatatkan penurunan pada 2021 iaitu Poliomyelitis (Polio), Diphtheria, Tetanus & Pertussis (DTP) dan Haemophilus Influenzae type B (HIB), masing-masing menurun 3.5 peratus kepada 94.2 peratus pada 2021 berbanding 97.7 peratus pada 2020.

Manakala Hepatitis B menurun 8.2 peratus kepada 93 peratus pada 2021 berbanding 101.2 peratus pada 2020 dan pelalian Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pula kekal 98.8 peratus.

Katanya, certain conditions originating in the perinatal period kekal menjadi sebab utama kematian bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun pada 2021 iaitu 37 peratus diikuti dengan gangguan kongenital, deformasi dan kelainan kromosom (29.9 peratus), pneumonia (2.1 peratus), jangkitan Covid-19 (1.5 peratus) dan kemalangan kenderaan (1.1 peratus).

Penemuan dalam bidang pendidikan pula menunjukkan kadar peralihan enrolmen bagi peringkat rendah ke menengah rendah meningkat 1.5 peratus kepada 90.9 peratus pada 2021 berbanding 89.4 peratus pada 2020.

Kadar peralihan enrolmen bagi peringkat menengah rendah ke menengah atas juga meningkat 1.4 mata peratus kepada 99.3 peratus dalam tempoh sama manakala kadar peralihan enrolmen peringkat menengah atas ke lepasan menengah mencatatkan penurunan 0.7 peratus pada 2021 kepada 2.8 peratus berbanding 3.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Ujar Mohd Uzir, daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, bilangan mereka yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan meningkat 4.9 peratus kepada 6,144 orang pada 2021 berbanding 5,858 orang pada 2020.

“Kanak-kanak perempuan melebihi kanak-kanak lelaki iaitu masing-masing 4,005 orang dan 2,139 orang sementara bilangan kes kumulatif orang kurangu paya (OKU) yang berdaftar pada 2021 ialah 148.0 ribu orang,” katanya. – Bernama