Kerajaan pusat diharap teruskan agenda RUU355

in Edisi by

Satiful Bahri Mamat

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu berharap supaya kerajaan pusat dapat meneruskan agenda pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) sebagaimana dirangka sebelum ini.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, langkah itu bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah selain memastikan apa yang dirancang sebelum ini berjalan mengikut jadual.

Jelas beliau, pindaan enakmen melibatkan hukuman bagi kesalahan jenayah takzir 2021 oleh kerajaan negeri kini di peringkat akhir dan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

“Kerajaan negeri telah buat persiapan ke arah pelaksanaan RUU355 di mana pembentangan mengenainya akan diadakan pada penghujung sidang dewan (Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14) ini.

“Enakmen untuk pindaan jenayah takzir itu melibatkan beberapa penambahan antaranya sihir dan perbomohan yang kita masukkan kerana kita mahu menjaga rakyat Terengganu yang terlibat dengan rawatan Islam supaya memastikan ia selari dengan syariah.

“Ia juga bagi memastikan tiada yang terlibat dengan jin dan sihir. Begitu juga tambahan enakmen baharu melibatkan wanita menyerupai lelaki juga mempunyai garis panduan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sidang DUN di Wisma Darul Iman pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengesyorkan empat seksyen baharu dan 21 pindaan terhadap hukuman sedia ada bagi menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, empat seksyen baharu itu melibatkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, perempuan berlagak seperti lelaki dan persediaan melakukan liwat.

Beliau memberitahu, draf bagi penambahbaikan enakmen itu telah disiapkan dan akan dibawa untuk dibahas serta diluluskan dalam sidang DUN pada November.