Mohon pertimbang benar aktiviti memburu di hutan simpan

in Edisi Sabah Sarawak by

Abdul Ghani ketika membahaskan Bajet Sabah 2023 pada sidang DUN Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Jabatan Perhutanan Sabah diminta mempertimbangkan untuk membenarkan aktiviti memburu di kawasan hutan simpan di negeri ini dengan menetapkan musim memburu untuk penduduk setempat melakukan aktiviti itu secara sah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yasin berkata, cadangan itu mengambil kira kegiatan memburu sebagai aktiviti turun-temurun penduduk luar bandar seperti di Nabawan.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan boleh mengambil contoh penetapan musim memburu yang dilaksanakan di beberapa negara lain.

“Saya memohon kepada Jabatan Perhutanan kerana aktiviti memburu ini dilakukan secara turun-temurun sebagai sumber pendapatan masyarakat kita.

“Jadi saya mencadangkan agar diadakan musim memburu seperti dibuat di luar negara, contohnya di Amerika Syarikat. Kita mintalah untuk Jabatan Perhutanan memberikan pertimbangan,” katanya ketika membahaskan Bajet Sabah 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.

Beliau berkata, cadangan itu disuarakannya berikutan permintaan rakyat di kawasannya yang meminta agar dibenarkan masuk dan memburu di kawasan hutan simpan.

“Rakyat sering bertanya mahu masuk hutan simpan untuk memburu tetapi undang-undang tidak membenarkannya dan jika masuk juga dianggap menceroboh,” katanya.