Penjawat awam Terengganu terima bonus RM900

in Edisi Terengganu by

Ahmad Samsuri (kanan) ketika membentangkan Belanjawan 2023.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan bayaran bonus sebanyak RM900 yang akan diberikan kepada kira-kira 14,000 penjawat awam di Terengganu yang layak menerusi Belanjawan 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan.

Jelas beliau, bayaran bonus yang akan mula dibuat pada Januari 2023 itu diharap dapat memberi suntikan semangat untuk golongan berkenaan bekerja dengan lebih gigih pada masa akan datang.

“Sebagai menghargai jasa penjawat awam yang telah menggerakkan pentadbiran kerajaan, saya dengan ini mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM900 kepada hampir 14,000 penerima yang layak,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.

Ahmad Samsuri sebelum itu mengumumkan Belanjawan Terengganu 2023 bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ merangkumi RM1.991 bilion bagi perbelanjaan mengurus; RM500 juta perbelanjaan pembangunan dan RM30 juta perbelanjaan bekalan air.

Belanjawan itu menggariskan tiga teras utama sebagai pendekatan pelaksanaan iaitu Menyantuni Rakyat, Memacu Ekonomi dan Melestarikan Pembangunan.

Selain itu, turut diumumkan pemberian pencen rakyat berjumlah RM600 akan diteruskan dengan peruntukan RM15 juta bagi memberi manfaat kepada 25,000 penerima.