PN Pahang mahu jadi pembangkang konstruktif Parlimen, DUN

in Politik by

Dari kiri: Saifuddin, Rosli

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang mahu menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional, progresif sama ada di sidang Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, gabungan itu juga akan memperbaiki semula parti-parti di dalamnya.

Menurutnya, kedua-dua perkara itu adalah resipi untuk membangukan demokrasi Malaysia yang matang, moderat dan pelbagai kaum yang berasaskan nilai.

“Bagi peranan pembangkang yang konstrukrif, harus diwujudkan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang melibatkan kabinet atau Exco bayangan yang diiktiraf.

“Selain itu termasuk juga Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut kluster kabinet atau Exco dan Akta atau Enakmen Peruntukan Kawasan yang saksama bagi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menyentuh isu membaiki parti pula, Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan PN harus mengolah semula idealisme perjuangan yang mengamalkan kesederhanaan.

Tambahnya, Partai Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai salah satu parti komponen dalam PN perlu memperkasa sayap bersekutunya.

“Ini bagi memastikan penglibatan lebih bermakna ahli-ahli bukan Melayu dan bumiputera serta menjalankan program pendidikan serta latihan yang sistematik,” ujar beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar mengatakan berpendirian untuk menghormati pilihan rakyat dengan berperanan sebagai pembangkang di DUN Pahang.

Katanya, Pas menerusi gabungan PN akan berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif di sidang DUN dengan menegur dan menasihati semua pihak supaya tadbir urus negeri dapat berjalan dengan lancar.

“Ini bersesuaian dengan matlamat pembentukan negeri Pahang yang diinginkan oleh PN iaitu prihatin, bersih dan stabil,” ujar beliau.

Pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang pada Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.