PRU15 Tioman: Calon PN syor Pahang beri cuti umum dua hari

in Politik by

Nor Idayu berucap pada Program Santai Anak Muda sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN Tioman di Pantai Hiburan, pada Isnin. – Foto Bernama

ROMPIN – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim menyarankan agar kerajaan Pahang memberikan cuti dua hari susulan tarikh mengundi jatuh pada hari bekerja.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memudahkan pengundi menjalankan kewajipan mereka yang tertangguh tempoh hari selain memastikan peratusan keluar mengundi mencapai tahap optimum.

Kalau boleh bagi cuti dua hari bermula Selasa supaya senang untuk anak-anak (pengundi) balik ke kampung untuk mengundi,” katanya kepada Bernama semasa Program Santai Anak Muda di Pantai Hiburan di sini, pada Isnin.

Mengulas perkembangan semasa yang menyaksikan BN dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama membentuk kerajaan negeri, Nor Idayu berkat,a beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai pembangkang yang efektif di DUN Pahang jika diberikan mandat oleh pengundi.

Sementara itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang turut menghadiri program tersebut berkata, beliau optimis Nor Idayu mampu merampas DUN Tioman yang selama ini dianggap sebagai kubu BN daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

“Saya mempunyai keyakinan bahawa kita akan menang di DUN Tioman berdasarkan pilihan raya baru-baru ini apabila Parlimen Rompin dimenangi calon PN, Datuk Abdul Khalib Abdullah,” katanya.

Turut bertanding di kerusi DUN yang terletak di bawah Parlimen Rompin itu ialah Osman A.Bakar mewakili Pejuang, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan sehingga 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi sejumlah 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – Bernama