Pulau Pinang penyumbang terbesar eksport Oktober 2022

in Bisnes by

Gambar hiasan.

EKSPORT pada Oktober 2022 meningkat sebanyak RM17.1 bilion atau 15 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan Pulau Pinang menyumbangkan eksport tertinggi bernilai RM7.1 bilion.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah dagangan Malaysia pada Oktober 2022 bernilai RM245.2 bilion, meningkat 21.1 peratus tahun ke tahun, dengan nilai eksport RM131.6 bilion dan import bernilai RM113.5 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport lebih tinggi juga dicatatkan oleh Johor (+RM4.8 bilion), Sarawak (+RM3.7 bilion), Wilayah Persekutuan Labuan (+RM1.7 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Kedah (+RM1.0 bilion), Negeri Sembilan (+RM453.2 juta), Perlis (+RM43.5 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM41.8 juta), Melaka (+RM38.0 juta) dan Kelantan (+RM17.7 juta).

“Bagaimanapun, eksport menyusut di Selangor (-RM1.8 bilion), Terengganu (-RM581.2 juta), Perak (-RM404.6 juta) dan Pahang (-RM330.6 juta),” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Eksport Import Mengikut Negeri, Oktober 2022 pada Isnin.

Beliau berkata, import pada Oktober 2022 juga meningkat RM25.6 bilion (+29.2 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM14.1 bilion), Selangor (+RM4.3 bilion), Melaka (+RM1.9 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Pulau Pinang (+RM1.7 bilion), Sarawak (+RM929.3 juta), Negeri Sembilan (+RM353.0 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM164.6 juta), Pahang (+RM144.6 juta), Sabah (+RM107.8 juta), Kelantan (+RM39.8 juta) dan Perlis (+RM26.3 juta),” katanya.

Ujarnya, bagaimanapun, import berkurangan di Terengganu (-RM346.0 juta), Wilayah Persekutuan Labuan (-RM52.5 juta) dan Perak (-RM32.5 juta).

Mohd Uzir berkata, antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.6 peratus, diikuti oleh Johor (21.9 peratus), Selangor (17.1 peratus), Sarawak (9.0 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.3 peratus).

Sementara itu, bagi import, Johor merupakan penyumbang utama dengan 28.0 peratus, diikuti oleh Selangor (24.0 peratus), Pulau Pinang (20.8 peratus), Kedah (6.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (5.7 peratus). – Bernama