Serbia, Cameroon sama 'liat'

in Sukan by

Aksi pemain Cameroon (kiri) dan Serbia dalam saingan Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 di Stadium Al Janoub sebentar tadi. – Foto EPA

PEMINAT bola sepak disajikan dengan aksi dramatik Serbia dan Cameroon apabila kedua-dua pasukan itu terikat 3-3 dalam saingan Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Janoub sebentar tadi.

Serbia yang tewas aksi pertama kepada Brazil 0-2 Jumaat lalu, manakala Cameroon yang kalah tipis 0-1 kepada Switzerland dalam misi yang sama memburu kemenangan sulung, namun kedua-dua pasukan sama handal dan akur untuk berkongsi satu mata.

Pada aksi itu, Cameroon yang menghuni ranking ke-43 dunia terlebih dahulu di depan menerusi ledakan Jean Castelletto pada minit ke-29.

Serbia yang dibimbing Dragan Stojkovic kemudiannya mempamerkan kebangkitan apabila menyumbat dua gol dalam tempoh tiga minit masa kecederaan babak pertama menerusi Strahinja Pavlovic dan Sergej Milinkovic-Savic.

Bersambung babak kedua, Aleksandar Mitrovic menambah jaringan buat Serbia pada minit ke-53.

Bagaimanapun Cameroon enggan mengalah apabila membalas dua gol dalam tempoh empat minit menerusi Vincent Aboubakar (m-63) dan Eric Choupo-Moting (m-66).

Serbia akan menutup aksi kumpulan menentang Switzerland di Stadium 974, manakala Cameroon bakal berdepan cabaran sukar Brazil di Stadium Lusail pada 3 Disember dengan sepak mula pada jam 3 pagi waktu Malaysia.