20 rumah, dua sekolah rosak dipukul ribut

in Edisi Sabah Sarawak by

Keadaan bangunan SMK Pulau Gaya yang ranap akibat ribut yang melanda petang Selasa.Keadaan jeti SK Pulau Gaya yang rosak teruk dipukul ribut.

KOTA KINABALU – Sekurang-kurangnya 20 rumah dan dua sekolah di Pulau Gaya, dekat sini, rosak teruk akibat hujan lebat dan ribut yang melanda di pulau berkenaan, pada petang Selasa.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu, dua blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya dan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya ranap dipukul ribut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pulau Gaya, Sairi Kassim berkata, kejadian itu berlaku lebih satu jam sebelum ia reda kira-kira jam 3.30 petang.

Keadaan ketika itu begitu dahsyat di mana kami sendiri pun ketakutan kerana ribut berlaku seperti angin puting beliung melanda sekitar kampung.

“Penduduk masing-masing menyelamatkan diri dan saya hanya keluar selepas keadaan reda. Saya kemudian bergegas ke SK Pulau Gaya dan mendapati jeti ranap manakala murid-murid yang bersekolah pada sesi petang berada dalam keadaan ketakutan dan ada yang menangis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

**media[2004686]**

Katanya lagi, hasil tinjauan mendapati hanya jeti SK Pulau Gaya yang rosak manakala keadaan struktur bangunan tidak terjejas selain semua murid dalam keadaan selamat.

“Bagaimanapun, struktur bagi bangunan di SMK Pulau Gaya terjejas teruk di mana dua barisan membabitkan kelas Tingkatan Tiga dan makmal ranap.

“Saya juga anggarkan kira-kira 20 rumah penduduk terjejas di mana ada yang ranap dan atap tercabut cuma untuk keseluruhan jumlahnya kita belum dapat pastikan,” katanya.