AMK gesa polis siasat tuduhan kaitkan PM sebagai ejen Israel

in Politik by

Mohamad Syazreen ketika ditemui pemberita di IPD Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Putrajaya menggesa polis menyiasat tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Ketuanya, Mohamad Syazreen Ezam Mohd Saidi berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan kerana ia turut melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Kami ingin menggesa pihak polis dengan segera membuka kertas siasatan agar perkara yang tidak masuk akal ini dapat dihentikan,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pada Selasa.

Menurut Mohamad Syazreen, bukti-bukti mengenai tuduhan tersebut akan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kami perasan satu audio tular di WhatsApp yang mengatakan Anwar mendapat pertolongan dari Israel, manakala semalam (Isnin) terdapat hantaran perkara sama di laman Facebook.

“Ini kami kumpulkan untuk diserahkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Pada Isnin, Anwar dilapor telah mengarah polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaitkannya sebagai ejen Israel.