Anwar perlu segera tangani isu sekuriti makanan

in Nasional by

Isu sekuriti makanan perlu menjadi keutamaan kerajaan baharu pimpinan Anwar. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat segera menangani isu sekuriti makanan yang semakin meruncing terutama selepas negara terkesan akibat dilanda pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Hak Dapat Makanan (Hadam) Malaysia, Profesor Dr Wan Abdul Manan Wan Muda berkata, ketika ini negara mempunyai dua juta iaitu 6.3 peratus rakyat yang kelaparan atau tidak mampu menghidang makanan setiap hari berdasarkan dapatan daripada Global Nutrition Report 2022.

Menurutnya, Hadam telah menggariskan lima perkara yang perlu diambil tindakan segera agar isu tersebut tidak terus menjadi lebih parah.

Kami menggesa kerajaan memastikan harga makanan dan minuman asas yang kini semakin meningkat tidak terus meningkat atau wujudkan skim bantuan makanan yang dapat menampung semua golongan peringkat penduduk, terutama sekali golongan miskin.

“Selain itu, melaksanakan pemberian hidangan makanan percuma berbentuk sejagat kepada semua kanak-kanak sekolah rendah tanpa mengira tingkat pendapatan keluarga mereka.

“Seterusnya, melaksanakan bayaran balik kepada kanak-kanak di bawah skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dinafikan hak mereka sewaktu sekolah tutup selama dua tahun (2020 dan 2021), walhal bajet untuk RMT telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 dan 2020,” katanya dalam satu surat terbuka kepada Anwar pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan kementerian yang bertanggungjawab terhadap sekuriti makanan negara.

“Hadam mencadangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ditukar nama kepada Kementerian Pertanian dan Makanan, serta melantik seorang menteri yang peka soal makanan penduduk bukan kepentingan keuntungan pihak industri.

“Hadam juga menyeru supaya empat komponen asas sekuriti makanan sentiasa dikawal dan dipantau, ini termasuklah kompenan iaitu ada makanan, makanan boleh didapati dan orang mampu membeli, pengambilan makanan yang memenuhi keperluan nutrien harian setiap individu dan jaminan bekalan makanan pada waktu kecemasan, kegawatan dan malapetaka.

Wan Abdul Manan menegaskan jaminan makanan yang cukup bakal meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.