BN-PH berkongsi pentas ceramah di DUN Tioman

in Politik by

Poster ceramah umum yang menyaksikan tiga pemimpin utama BN-PH berkongsi pentas pada Rabu.

KUANTAN – Buat julung kalinya, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pahang akan diterjemahkan menerusi ceramah umum sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Rabu.

Berdasarkan perkongsian poster oleh media PH, tiga pemimpin tertinggi iaitu Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu akan tampil dalam ceramah umum terbabit.

Ketiga-tiganya berkongsi pentas untuk menyampaikan ceramah mereka kepada orang ramai di kawasan letak kereta Pasar Besar Rompin pada jam 8.30 malam.

Sebelum ini kedua-dua parti tersebut dikatakan musuh ketat, namun mereka akhirnya bersama selepas BN-PH Pahang bergabung membentuk kerajaan negeri.

Ceramah secara bersama diadakan selepas PH mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain dalam pemilihan pada PRU15 DUN Tioman pada 7 Disember ini.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dan nasional yang dimeterai antara PH dengan BN.

Sebelum ini, keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.