Brazil lepasi ujian Switzerland

in Sukan by

Casemiro meraikan jaringan pembukaan Brazil ketika berdepan Switzerland dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium 947, Doha. Foto: EPA

BRAZIL mengesahkan kemaraan ke pentas 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Switzerland 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan G di Stadium 974-Ras Abu Aboud pada Selasa.

Bagaimanapun pasukan pilihan juara itu terpaksa menunggu penghujung babak kedua untuk mengesahkan kemaraan hasil jaringan pemain tengah pertahanan Brazil, Casemiro pada minit ke-86.

Ini merupakan kemenangan kedua skuad Samba selepas menang 2-0 ke atas Serbia di Stadium Lusail dalam perlawanan pembukaan pada 25 November lalu.

Penyudah tenang Casemiro tujuh minit sebelum tamat perlawanan memberikan kuasa bola sepak Amerika Selatan itu tiga mata mutlak, selepas gol awal Vinicius Junior dinafikan kerana ofsaid.

Switzerland tampil dengan lebih garang selepas bermula cemerlang mengatasi Cameroon 1-0 hasil jaringan Breel Embolo dalam perlawanan pertama Stadium Al Janoub pada 24 November lalu.

Namun Brazil tampil tenang sepanjang perlawanan 90 minit perlawanan sebelum kematangan penyudah Casemiro yang merupakan pemain terbaik perlawanan menyaksikan Switzerland perlu bekerja keras dalam baki perlawanan terakhir berdepan Serbia.

“Tidak kira apa pun gol yang dijaringkan, saya fikir ia sangat penting untuk membantu pasukan, apabila kita menang, kita semua menang bersama, apabila kita kalah, kita semua kalah bersama-sama,” katanya.

Keputusan ini juga menyaksikan Brazil menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia yang tidak tewas dalam 17 perlawanan peringkat kumpulan berturut-turut termasuk pusingan akhir dan kedua kumpulan dalam edisi terdahulu.