Fokus hal rakyat berbanding politik: Salahuddin

in Politik by

Salahuddin memuat naik gambar ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PH di laman Facebook.

SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi jaminan barisan kepimpinan yang bakal menerajui Kerajaan Perpaduan kelak akan memberi fokus terhadap masalah rakyat.

Pengerusi PH Johor itu berkata, perkara itu dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung pada Isnin.

“Semalam (Isnin) telah berlangsung Mesyuarat Majlis Presiden PH, ia adalah mesyuarat pertama setelah PH membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Insya-ALLAH pasukan yang terbentuk ini memfokuskan hal rakyat melebihi hal politik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat itu turut memberi jaminan akan memuktamadkan pembentukan kabinet dengan kadar segera selepas mendengar pandangan semua pihak termasuk parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi PH itu menjelaskan, pihaknya perlu mengambil sedikit masa susulan pembentukan kabinet dalam kerajaan tersebut akan lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.