Ibu tunggal tabah jaga anak OKU

in Edisi by

Malliga (kiri) dan Koon Siong (duduk) menerima sumbangan disampaikan Theyagarajan (kanan) di sini pada Selasa.

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal dari Permas Jaya, di sini gigih membesarkan anak berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas suaminya, Keong Yu Huat meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lapan tahun lalu.

K Malliga, 62, berkata, dia kini tinggal bersama-sama anak OKU, Keong Koon Siong, 39, yang mengalami masalah sindrom down.

Kematian suami yang berdarah Cina-India dan berketurunan Tionghua banyak mengubah perjalanan hidup saya.

“Selagi ada kudrat, saya akan jaga Koon Siong dan bekerja bagi menyara kami dua beranak,” katanya ketika menerima sumbangan disampaikan Presiden Persatuan Peniaga Kecil India Tekstil dan Perhiasan Johor Bahru, J Theyagarajan, di sini pada Selasa.

Malliga berkata, sejak bergelar ibu tunggal, dia bekerja sambilan sebagai pekerja pembersihan di sebuah pejabat swasta di bandar raya ini selain mengambil upah membersihkan rumah kenalan pada hujung minggu bagi mencari pendapatan tambahan.

“Bila keluar bekerja, saya terpaksa tinggalkan Koon Siong keseorangan selain meminta bantuan anak saudara untuk memantau keadaannya.

“Walaupun sudah dewasa, Koon Siong masih berkelakuan seperti kanak-kanak kecil selain tidak mampu berkomunikasi serta tidak dapat mengurus dirinya sendiri.

“Sebab itu, sebelum keluar bekerja jam 7 pagi, saya akan mandi dan suapkan dia makanan dan perkara sama saya akan buat selepas pulang ke rumah pada jam 2 petang,” katanya sayu.

Dia mengakui kadang-kadang merasa letih menguruskan anak istimewanya itu kerana Koon Siong memiliki berat badan melebihi 100 kilogram, namun akan tetap berusaha memberi penjagaan terbaik kepadanya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Koon Siong menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekali gus dapat beban keluarga.

“Pendapatan saya kurang RM1,000 sebulan sebab itu saya perlu berjimat dan hanya masak lauk sederhana seperti sayur dan telur. Saya juga gembira kerana ada kenalan sudi sedekahkan makanan sedap untuk kami dua beranak,” katanya.