Kerajaan jimat RM25 bilion jika amal tender terbuka

in Nasional by

Rais Hussin

SHAH ALAM – Dianggarkan sebanyak RM25 bilion dapat dijimatkan sekiranya kerajaan mengamalkan sepenuhnya sistem perolehan tender terbuka seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, penjimatan itu meliputi beberapa projek yang sedang dan bakal dilaksanakan termasuk projek pelancaran 5G yang diterajui Digital Nasional Berhad (DNB).

“Walaupun projek ini akan dilancarkan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun, tetapi kos upfront (kos masa hadapan ditanggung sekarang) kerana bon yang dikeluarkan adalah jangka masa panjang.

“Nilai pinjaman juga secara keseluruhannya sudah mencecah RM12 billion (termasuk pinjaman bank). Ia lebih kurang 0.01 peratus daripada KDNK negara.

“Walaupun jumlahnya nampak kecil, tetapi ia tidak mengambil kira pembaziran dan ketirisan dari tahun yang lalu dan juga daripada aktiviti lain seperti rasuah dan penyelewengan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Selasa, Anwar menegaskan kerajaan tidak lagi akan melaksanakan amalan kelulusan perolehan projek kerajaan tanpa tender.

Menurutnya, EMIR Research menggangarkan kira-kira RM3 trilion telah lenyap akibat rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam jangka masa 25 tahun ini.

“Jadi kalau angka purata diambil, dianggarkan RM12 bilion telah hilang. RM12 bilion ataupun RM24 bilion-RM25 bilion merupakan wang rakyat yang boleh disalurkan kepada subsidi tersasar melibatkan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata, sistem tender terbuka adalah amalan telus yang radikal dan rundingan terus sepatutnya dihapuskan termasuk tender terhad dan tender terkawal.

“Jadi, sistem pentadbiran mesti menjalani satu pembersihan dalaman supaya budaya tender terbuka benar-benar diterapkan dan bukan sekadar melafaz (lip service) ataupun tindak balas paparan sahaja.

“Oleh itu, model input-output-outcome/hasil-impak (IOOI) mesti dipraktikkan dalam semua peringkat perolehan daripada perancangan bajet sehingga pelaksanaan bajet,” ujarnya.