KWSP jadi rakan Rasuah Busters

in Khas by

Badri (lima dari kiri) hadir merasmikan Fiesta Integriti 2022 (FIT22 Hawkersday) di Menara KWSP, Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia bekerjasama dengan Rasuah Busters dalam menjayakan kempen berskala besar menentang rasuah pada masa akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menguruskan wang caruman persaraan ahli, sudah pasti pihaknya memerlukan kakitangan yang berintegriti dan amanah.

Menurutnya, isu berkenaan integriti amat penting dan harus dipupuk dalam kalangan kakitangan KWSP bagi mengelak berlaku ketirisan dalam pentadbirannya.

“KWSP sentiasa terbuka dalam hal berkaitan integriti dan kami sedia menjadi rakan Rasuah Busters untuk bersama-sama mengerakkan program kesedaran dan menjauhi rasuah seperti hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada program Fiesta Integriti 2022 (FIT22 Hawkersday) di Menara KWSP di sini pada Selasa.

Selain Pasukan Rasuah Busters, turut serta pada program berkenaan adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Integriti Malaysia, Tranparency International Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia.

Program selama sehari itu turut menampilkan penceramah Urus Setia Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Supritenden Wong Ting Lee dan Ketua Cawangan Kerajaan dan Agensi Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip.

Turut diadakan pertandingan kuiz intergriti yang menawarkan pelbagai hadiah kepada peserta bertuah.

Sementara itu Samsul berkata, sejumlah 5,599 penjawat awam tangkapan telah dibuat sepanjang enam tahun sehingga Oktober lepas dengan 2,307 telah dituduh dan 1,264 disabitkan kesalahan rasuah.

“Daripada jumlah tersebut, 48.8 peratus atau 2,546 merupakan penjawat awam dan paling membimbangkan 57.8 peratus daripada jumlah berkenaan adalah penjawat awam belia berumur di bawah 40 tahun.

“Antara kesalahan yang direkodkan pula adalah 2,449 kes (44.3 peratus) menerima suapan, 1,376 kes (24.9 peratus) berkaitan tuntutan palsu, 936 kes (16.9 peratus) beri rasuah,” jelasnya.