Lebih 300 wanita, kanak-kanak perempuan maut di tangan junta

in Global by

Ma Kyal Sin, gadis berusia 19 tahun ditembak mati tentera junta semasa menyertai demonstrasi antirampasan kuasa di Mandalay pada 3 Mac tahun lalu.

YANGON – Sekurang-kurangnya 308 wanita dan kanak-kanak perempuan telah dibunuh tentera junta Myanmar sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu.

Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) mendakwa daripada jumlah itu, 12 mangsa termasuk kanak-kanak telah diserang secara seksual sebelum dibunuh dan mayat mereka dibakar bagi menghapuskan bukti.

NUCC mengeluarkan kenyataan itu dua hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan kempen 16 Hari Menentang Keganasan Berasaskan Gender pada 25 November lalu.

“Wanita dan kanak-kanak perempuan sering menjadi mangsa keganasan setiap kali berlakunya konflik di Myanmar termasuk dirogol, diseksa dan dibunuh,” menurut kenyataan NUCC.

Berdasarkan data dikumpul NUCC, secara keseluruhan polis dan tentera telah membunuh 2,327 orang sejak rampasan kuasa yang menyaksikan bekas Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi dihumban ke dalam penjara.

Tambah NUCC lagi, tentera junta menerima pakai rogol, penyeksaan serta penderaan seksual terhadap orang awam sebagai senjata perang hampir setiap hari sejak tercetusnya konflik di negara berkenaan.

Junta kini berusaha untuk menumpaskan pemberontakan awam bersenjata yang cuba mencabar kuasa pemimpin diktator Jeneral Ming Aung Hlaing. – Agensi