LRT Kelana Jaya tergendala, komponen disambar petir

in Edisi Selangor KL by

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aliran Transit Ringan (LRT) Kelana Jaya tergendala disebabkan gangguan teknikal yang berlaku jam 5.46 petang, Selasa.

Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dalam satu kenyataanmemohon maaf kepada pengguna yang terjejas.

Menurut kenyataan itu, gangguan tersebut dipercayai berpunca Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) telah disambar petir di Stesen LRT Kerinchi.

Situasi itu menyebabkan tren dari kedua-dua arah tidak dapat melalui kawasan tersebut. Kakitangan teknikal sedang berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih,” menurut kenyataan.

Tambah kenyataan itu, semua tren yang melalui kawasan tersebut terpaksa dipandu secara manual susulan kejadian itu.

“Ini mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform yang berlaku di beberapa stesen.

“Perkhidmatan bas perantara percuma telah disediakan bagi membawa penumpang dari Stesen LRT Bangsar ke Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Pasar Seni,” kata kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu, kakitangan operasi dan polis bantuan telah ditempatkan di platform bagi membantu orang ramai.