Megat Zulkarnain sedia galas tanggungjawab pimpin UMNO Selangor

in Politik by

Megat Zulkarnain melafazkan ikrar terima jawatan. – Foto Facebook Megat Zulkarnain.

GOMBAK – Datuk Megat Zulkarnain Omardin bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi UMNO Selangor yang baharu dan berazam melakukan yang terbaik untuk UMNO Selangor.

Beliau berkata, amanah diberikan itu terlalu berat buatnya namun menganggap itu sebagai satu cabaran.

Menurutnya, tunjuk ajar daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sokongan daripada Ketua Bahagian UMNO yang lain akan digunakan sebaiknya untuk memimpin UMNO Selangor.

Kepada yang kata UMNO/BN Selangor tiada masa depan kerana kalah dalam pilihan raya, saya anggap itu sebagai cabaran dan tidak langsung melemahkan semangat saya.

“Sejarah politik negara pernah tercatat, Pas berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan (pada penggal lalu) selepas 60 tahun melalui kekalahan. Malah PRU15, Pas menang banyak kerusi Parlimen.

“Selama 24 tahun melalui kekalahan, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Moralnya adalah tiada yang mustahil dalam politik, ia berubah dan dinamik,” menurut perkongsian di Facebooknya baru-baru ini.

Menerusi perkongsian sama, Ketua UMNO Gombak itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang telah banyak berjasa kepada UMNO Selangor.

“Beliau (Noh) juga telah banyak membantu dan memberi tunjuk ajar seawal saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian Gombak.

“Mohon semua rakan-rakan mendoakan agar saya dapat melaksanakan amanah ini sebaik mungkin, dengan penuh integriti, adil, bersih dan seikhlasnya,” katanya.

UMNO Selangor membuat penstrukturan baharu dengan menamakan Megat Zulkarnain sebagai pengerusi yang baharu selepas Noh letak jawatan pada 20 November lalu.

Peletakan jawatan itu dibuat sehari selepas PRU15 yang menyaksikan BN mengalami kekalahan teruk selepas hanya menang 30 kerusi Parlimen.