MMKN Selangor lulus cadangan tangani perubahan iklim

in Edisi by

Loy Sian menjawab pertanyaan semasa Sidang DUN Selangor pada Selasa.

SHAH ALAM – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersetuju meluluskan beberapa cadangan pembangunan dasar dan pelan tindakan perubahan iklim negeri Selangor pada tahun depan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pendekatan berperingkat akan dilaksanakan bagi menyelaras usaha adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana.

“Usaha ini dilakukan bagi menggerakkan dan memberi panduan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan dan agensi negeri, industri, masyarakat setempat serta pihak berkepentingan lain dalam mencapai pembangunan yang berdaya tahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewana Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin mengenai perancangan lengkap untuk membangunkan pelan adaptasi dan mitigasi terhadap isu perubahan iklim yang semakin relevan di negeri Selangor semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Loy Sian berkata, Selangor pada masa ini berdepan impak perubahan iklim membimbangkan menerusi beberapa kejadian banjir kilat, ribut dan tanah runtuh yang menjejaskan aktiviti pembangunan dan sosio-ekonomi rakyat.

“Susulan daripada tragedi banjir besar yang melanda negeri pada Disember tahun lalu, kepentingan untuk mengintegrasi tindakan jangka pendek iaitu usaha pengurusan risiko bencana iklim dengan usaha jangka sederhana dan panjang iaitu adaptasi perubahan iklim bagi meningkatkan daya tahan masyarakat setempat juga perlu diberi keutamaan,” kata beliau.

Menurut Loy Sian, pada peringkat awal skop pembangunan dasar ini telah dibincang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IklimSelangor) yang dianggotai oleh pakar berpengalaman dalam bidang pembangunan dasar, iklim, perancangan bandar dan perbandaran.

Ujar beliau, matlamat pembangunan dasar itu dilaksanakan bagi membantu mengenal pasti tindakan secara bersepadu yang perlu diambil bagi mencapai matlamat pembangunan lestari.

“Tindakan ini dilakukan bagi membentuk perancangan secara menyeluruh dalam proses pembangunan negeri merangkumi sektor utama iaitu keselamatan air dan sumber air, pertanian dan keselamatan makanan.

“Selain itu, kesihatan awam, Infrastruktur, tenaga dan persekitaran terbina (termasuk bandar raya), pengurusan sisa, pengangkutan, perhutanan dan biodiversiti serta perindustrian,” kata beliau.