Pelaksanaan subsidi bersasar perlu bersekali bantuan sara hidup

in Nasional by

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan pemberian subsidi bersasar jika dilaksanakan kelak perlu bersekali dengan bantuan sara hidup bersesuaian kepada kumpulan sasar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pensyarah Perakaunan dan Tadbirurus Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sekiranya subsidi bersasar dijalankan tanpa mekanisme lain seperti bantuan sara hidup, kadar inflasi dijangka kembali meningkat.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan rakyat kurang berbelanja dan secara tidak langsung memperlahankan perkembangan perniagaan serta kurang aktiviti melabur susulan harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat akibat impak subsidi bersasar.

“Oleh itu, jika subsidi bersasar tersebut dilaksanakan bersama bantuan sara hidup, B40 akan mampu berbelanja seperti biasa. Tetapi mungkin M40 akan mengurangkan sedikit perbelanjaan harian mereka,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Razman berkata, Bajet 2023 perlu dibentang semula dengan mengambil kira semua inisiatif daripada manifesto kerajaan perpaduan yang dianggotai pelbagai parti yang mempunyai manifesto tersendiri.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya Dr Roza Hazli Zakaria berkata, sekiranya penarikan subsidi dilakukan secara drastik dan menyeluruh, keupayaan pengguna untuk berbelanja akan terjejas selain kesan rantaian besar melibatkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam sektor lain.

“Kita pernah mengalami situasi ini beberapa tahun lepas apabila subsidi ditarik balik untuk minyak petrol, dan harga minyak meningkat kepada RM2.70. Ia menyebabkan kenaikan harga barangan lain dan menjejaskan keupayaan pengguna berbelanja,” katanya.

Bagaimanapun, Roza Hazli berkata, sekiranya penarikan subsidi dilakukan secara berperingkat, dimulakan dengan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula, kesannya ke atas kuasa beli pengguna tidak besar.

“Ini kerana barangan seperti itu mengambil bahagian yang kecil daripada belanjawan harian pengguna,” katanya.

Roza Hazli turut berpendapat bahawa Belanjawan 2023 perlu diubah suai dan dibentangkan semula sekiranya penyelarasan subsidi tersebut direalisasikan.

“Ini kerana dalam belanjawan lepas, kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar untuk subsidi iaitu sebanyak RM55 bilion atau 11.3 peratus daripada jumlah belanja mengurus,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun terdapat kegusaran gologan M40 dan T20 mengenai akibat pemberian subsidi bersasar, beliau percaya mereka masih menerima manfaat melalui insentif lain yang disesuaikan untuk mereka.

“Saya rasa golongan itu akan bimbang pada awalnya, namun menyokong usaha ini setelah mengetahui kebaikan pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan perlu menbentuk satu dasar yang holisitik atau komprehensif dalam melaksanakan perubahan itu.

“Ini bukan satu tugas mudah namun ia harus dilakukan bagi melindungi kewangan negara dan membolehkan sumber dana negara digunakan untuk manfaat semua rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mencerakin dan menelusuri semula kaedah pengagihan subsidi kepada subsidi bersasar dan memberi jaminan kepentingan pihak industri akan tetap diberi perhatian.

Beliau berkata, ini bagi memastikan subsidi yang memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan pada masa ini, hanya dinikmati oleh pihak benar-benar layak. – Bernama