Pelan jangka panjang atasi banjir kilat berulang di Johol

in Edisi by

Aminuddin (baris hadapan, kanan) ketika menjawab soalan lisan berhubung masalah banjir di Johol,Kuala Pilah.

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan melalui Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS) telah melaksanakan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir kilat agar tidak berulang di kawasan Johol, Kuala Pilah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, berdasarkan hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada 21 Jun lepas telah bersetuju melakukan timbal balik hasil daripada mengeluarkan, mengalih dan mengangkut bahan batuan dan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemuliharaan sungai.

“Ia dengan kaedah tanpa melibatkan kos atau peruntukan kerajaan yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS).

“Kaedah ini adalah melalui lantikan terus atau rundingan terus oleh pegawai kewangan negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri. Kelulusan ‘fast track’ ini adalah tertakluk kepada kerja-kerja penyelenggaraan atau pemuliharaan sungai atau kolam untuk kes tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Johol, Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) pada Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini pada Selasa.

Jelas Aminuddin, kawasan yang dikenal pasti banjir akibat limpahan air sungai adalah Rumah Rakyat Kuala Johol yang berhampiran dengan pertembungan di antara Sungai Johol dan Sungai Jelai.

“Pada masa ini pihak JPNS tidak mengesyorkan pertembungan sungai ini dikorek kerana dasar sungai tersebut mempunyai Batu Hampar. Sekiranya berlaku banjir kilat di kawasan ini penduduk akan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dewan.

“Pentadbiran ini turut mengambil tindakan segera ke atas aduan banjir kilat yang berlaku di kawasan Johol. Bagi perancangan mitigasi banjir, Pejabat Pejabat daerah dan Tanah Kuala Pilah serta JPS sentiasa menjalankan siasatan dan membantu memohon peruntukkan bagi kerja pembaikan jambatan serta menyelenggara sungai di kawasan kampung.

“Permohonan pembinaan dan menaik taraf sistem perparitan yang efektif di Johol juga telah dibuat melalui peruntukkan P57 dan permohonan kini dalam pertimbangan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memantau dan bersedia sekiranya kawasan hot spot dilanda banjir kilat terutama ketika musim Monsun Timut Laut (MTL).

Dalam pada itu, Aminuddin turut menjelaskan JPS Daerah Kuala Pilah juga melaksanakan beberapa pelan jangka masa pendek antaranya kerja-kerja penyaluran Sungai Jelai serta lain-lain kerja berkaitan di Kampung Air Taling, Mukim Johol yang telah siap sepenuhnya pada 11 Ogos lalu berjumlah RM72,730.

“Selain itu, terdapat kerja-kerja membina struktur penahan tebing (Gabion) Sungai Johol serta lain-lain kerja berkaitan di Kampung Pasit, Mukim Johol juga telah siap sepenuhnya pada 2 September lepas berjumlah RM84,102,” katanya.