Piala Dunia ISTAF: Malaysia akur kehebatan Thailand

in Sukan by

Skuad sepak takraw negara bergambar bersama regu Thailand selepas mengakhiri cabaran Piala Dunia ISTAF 2022 dengan status naib juara. – Foto Malaysia SepakTakraw Federation

SKUAD sepak takraw negara kempunan untuk merangkul pingat emas acara regu lelaki selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Thailand dalam perlawanan akhir Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) 2022, pada Selasa.

Dalam aksi di Kompleks Sukan Daejon Hanbat, Korea Selatan itu, skuad negara dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir bermula dengan langkah kiri apabila tunduk 18-21 pada set pertama.

Pada set kedua, skuad negara terus hampa apabila tewas 19-21 kepada skuad Gajah Perang yang membariskan Kritsanapong Nontakote, Thawisak Thongsai dan Yodsawat Uthaijaronsri.

Piala Dunia ISTAF kali pertama di Kuala Lumpur pada 2011 menyaksikan Thailand dibarisi Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee menewaskan Noor Azman Hamid, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam, 15-4, 15-6, 15-11.

Gajah Perang terus melebarkan penguasaan apabila gandingan Kritsanapong Nontakote, Jirasak Pakbuangoen dan Rachan mempertahankan kejuaraan edisi Hyderabad 2017 apabila mengatasi Mohammad Syahir, Mohd Norhafizi Abdul Razak dan Farhan Adam 21-19, 23-21.

Untuk rekod, Piala Dunia ISTAF tidak dapat dilangsungkan pada 2014, selain dari 2018 hingga 2021 termasuk akibat pandemik Covid-19.