PN akan jadi pembangkang yang kuat

in Analisis Sinar by

SHAH ALAM – Keputusan Perikatan Nasional (PN) tidak menyertai Kerajaan Perpaduan adalah langkah tepat dalam usaha menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat.

Gabungan PN terdiri daripada Pas dan Bersatu itu dilihat mampu berperanan sebagai semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Meskipun tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan, PN kini menjadi wadah saluran kuat suara rakyat ke Parlimen.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil.

Muhyiddin berkata, PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan PN bersedia merintis kerjasama atas kapasiti kerajaan dan pembangkang.

Kenyataan Presiden Bersatu itu kemudiannya disokong oleh Pas menerusi Setiausaha Agongnya, Datuk Seri Takiyudin Hassan yang menegaskan bahawa parti Islam itu tidak akan menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif bersama PN.

Takiyuddin menjelaskan Pas akan terus berperanan sebagai pembangkang dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar.

Malah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki juga yakin PN diyakini boleh memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif untuk semak dan imbang kerajaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, meskipun menjadi pembangkang, suara penyokong PN tidak akan diketepikan hanya kerana PN tidak mentadbir negara.

Beliau berkata, PN masih ada untuk terus berjuang dan memastikan Malaysia terus aman dan makmur dalam setiap aspek demi generasi akan datang.