'PN jangan selesa, beri perhatian perbaiki ruang penting'

in Politik by

Wan Saiful

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar tidak berasa selesa dan perlu menerima hakikat bahawa masih ada ruang yang boleh diperbaiki oleh gabungan itu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan, terdapat enam ruang penting yang perlu diberi perhatian segera oleh mereka.

“Pertama, fikrah perjuangan PN perlu terus diuar-uarkan seluas-luasnya sehingga rakyat sentiasa ingat bahawa hanya agenda prihatin, bersih dan stabil yang dijuarai oleh PN boleh menghasilkan Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua.

“Kedua, ukhuwah dan kemesraan sesama parti komponen perlu diperkukuh agar kita bergerak sederap sebagai satu ketumbukan. Generasi baru sudah muak dengan politik kepartian yang sempit.

“Ketiga, keterampilan peribadi tokoh-tokoh yang memimpin PN perlu dipindahkan menjadi keterampilan kelompok yang merangkumi keseluruhan parti agar tiada ‘hero worship’ seperti yang wujud dalam parti lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Ahli Parlimen Tasek Gelogor itu menambah, parti-parti komponen PN perlu memperbanyak ruang perkongsian kepakaran dan membina kemampuan jentera secara bersama terutama memperkasa akar umbi dalam kalangan orang muda.

Pemimpin-pemimpin generasi baharu termasuk golongan muda dan profesional pula katanya, perlu diangkat menerajui PN dengan bimbingan dan panduan daripada pemimpin lebih berpengalaman agar parti boleh memanfaatkan idea-idea segar yang mereka bawa berlandaskan iktibar pengalaman tokoh lebih senior.

“Perlu ada adunan orang baru dan lama, tanpa mengenepikan sesiapa.

“Keenam, PN perlu bekerja lebih kuat untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu dan Melayu bandar. Negara ini adalah milik semua dan PN mesti menjadi parti untuk semua lapisan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, generasi baharu yang mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mahukan politik baharu yang segar, bersih dan berintegriti sehingga ia menghasilkan gelombang dengan memberikan PN bilangan kerusi yang banyak.

“Saya sendiri menyaksikan betapa generasi baharu ini berbondong-bondong menyokong PN sehingga mencatat majoriti yang besar di Parlimen Tasek Gelugor,” ujarnya.

Menurutnya, mereka juga memberi keyakinan kepada PN untuk memperjuangkan dan menjayakan agenda tersebut.

“Gabungan parti-parti dalam PN berjaya memperkukuh satu sama lain. Bersatu membawa imej dan keterampilan kepimpinan. Pas membawa kekuatan jentera dan kelangsungan fikrah perjuangan. Gerakan, SUPP dan STAR membawa kekayaan budaya dan resam untuk membolehkan PN diterima semua.

“Saling kebergantungan ini menghasilkan satu kebersamaan yang menyeluruh dan inklusif. Tidak ada satu parti dalam PN yang boleh mendakwa mereka membawa lebih banyak sumbangan kerana rangkaian imej, jentera dan penerimaan semuanya diperlukan serentak. Sekiranya satu tiada, maka cacat semuanya,” tegasnya.