PRU15: 'Perjuangan saya tidak akan terhenti'

in Politik by

Mohd Fadzli – Foto Bernama

KUANTAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly akan tetap meneruskan perjuangan untuk rakyat khususnya di Parlimen Rompin.

Walaupun kepimpinan memutuskan memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 di DUN Tioman, Mohd Fadzli menjelaskan, perjuangan beliau tidak sesekali terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya akan terus menyuarakan kepentingan rakyat.

“Perjuangan saya tidak akan terhenti. Rakyat Rompin kenal saya. Saya bukan jenis mudah mengalah.

“Saya berpesan pada pengundi supaya membuat pilihan tepat untuk masa depan mereka. Pilihlah pemimpin yang dekat di hati mereka,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Selasa, PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain di DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, bagi memenangkan calon BN, Mohd Johari yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN.

Perebutan bagi kerusi DUN Tioman menyaksikan pertembungan antara penyandang daripada BN, Mohd Johari, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon PN, Nor Idayu Hashim selepas calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly memberi laluan kepada calon BN.

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung serentak pada 19 November lalu ditangguhkan berikutan kematian calon PN terdahulu, Allahyarham Md Yunus Ramli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Khamis, 24 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 DUN Tioman, 3 Disember sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi pada 7 Disember depan.