PRU15: 'Perjuangan saya tidak akan terhenti'

in Politik by

Mohd Fadzli – Foto Bernama

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly akan tetap meneruskan perjuangan untuk rakyat di Rompin.

Beliau menjelaskan tidak akan berhenti daripada menyuarakan kepentingan rakyat.

“Perjuangan saya tidak akan terhenti. Rakyat Rompin kenal saya. Saya bukan jenis mudah mengalah.

“Saya berpesan pada pengundi supaya membuat pilihan tepat untuk masa depan mereka. Pilihlah pemimpin yang dekat di hati mereka,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Selasa, PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, bagi memenangkan calon BN, Mohd Johari yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN.

Sementara itu, Mohd Fadzli bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti.

“No comment. Serah mandat pada rakyat untuk undi calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini,” ujarnya ringkas.