Suspek rogol dihukum ketuk ketampi

in Global by

Tangkap layar rakaman video menunjukkan suspek dihukum ketuk ketampi. – Foto Agensi

PATNA – Seorang lelaki dihukum ketuk ketampi selepas dituduh merogol kanak-kanak berusia lima tahun dalam kejadian di negeri Bihar, India.

Kejadian di daerah Nawada itu mencetuskan kemarahan pengguna media sosial kerana suspek tidak diserahkan serta-merta kepada pihak polis.

Menurut laporan, perbuatan suspek terbongkar selepas ditangkap penduduk sejurus melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah kawasan sunyi.

Suspek kemudian diserahkan kepada jawatankuasa kampung atau ‘panchayat’ untuk disoal siasat.

Anggota ‘panchayat’ yang lebih berusia kemudian memutuskan suspak tidak bersalah merogol mangsa tetapi bersalah membawa kanak-kanak malang itu ke kawasan terpencil.

Suspek kemudian diarah melakukan ketuk ketampi sebagai hukuman.

Sementara itu, jurucakap polis Gaurav Mangla mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kes tersebut.

“Tindakan lanjut akan diambil terhadap suspek dan kita akan menyiasat siapa yang mengarahkan suspek supaya tidak diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya. – Agensi