Terengganu cadang tambah penguat kuasa syariah

in Edisi Terengganu by

Satiful Bahri

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan penguat kuasa syariah walaupun secara kontrak pada tahun depan bagi memastikan tugas penguatkuasaan syariah dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini terdapat 85 penguatkuasa syariah di Terengganu dan jumlah itu belum mencukupi berbanding 1.2 juta rakyat negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 17 penguatkuasa bertugas di ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Kuala Terengganu.

Di daerah Kuala Terengganu, terdapat sembilan penguatkuasa, Kemaman (12), Dungun (sembilan), Besut (sembilan), Hulu Terengganu (10), Marang (lima), Setiu (tujuh) dan Kuala Nerus (tujuh) dengan 62 adalah lelaki manakala 23 wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Hilmi Harun (Pas-Manir) mengenai bilangan pegawai penguatkuasa syariah di setiap daerah pada Persidangan Dewan Undagan Negeri (DUN) Terengganu, di sini pada Selasa.

Menjawab soalan tambahan tentang sukarelawan penguatkuasa syariah, Satiful Bahri berkata, senarai nama sukarelawan tersebut sudah dihantar kepada JHEAT untuk penilaian.

Jelas beliau, JHEAT mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri dan pihaknya masih menunggu keputusan.

“Selain itu, kerajaan juga sedang berusaha untuk membuat penambahbaikan terhadap portfolio jabatan penguatkuasaan syariah di semua peringkat,” katanya.