Terima kasih Sang Saka Biru

in Pojok by

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (tengah) bergambar selepas Majlis Latihamal Ex-Undi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU15. – Foto hiasan/Bernama

BULAN November 2022 terus memberi cabaran kepada petugas keselamatan negara.

Apa yang Merak Jalanan hendak ulaskan adalah November yang padat dengan bermacam peristiwa iaitu banjir ketika tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15. Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.

Sebelum hari mengundi 19 November, Merak Jalanan dan rakan terlibat dalam penugasan di beberapa lokasi banjir di sekitar Kuala Langat dan Sepang, Selangor.

Apa yang Merak hendak katakan, kawalan keselamatan dikawal baik oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bayangkan penugasan banjir ini dijalankan ketika kempen PRU15 berjalan di mana anggota polis tetap menjalankan tugasan keselamatan ketika banjir dan pilihan raya. Sudah tentu kepenatan itu sukar hendak digambarkan.

Kemudian, penugasan berlipat ganda pada hari pengundian di mana anggota terlibat bertugas di setiap saluran serta pusat mengundi selain kawalan keselamatan termasuk rondaan.

Habis sahaja hari mengundi, warga PDRM terus setia berkhidmat berikutan krisis pelantikan Perdana Menteri yang memakan masa hampir satu minggu.

Ini terbukti apabila pegawai dan anggota perlu berkawal di beberapa lokasi tumpuan utama seperti Istana Negara dan Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Sekatan jalan raya (SJR) juga didirikan di seluruh negara bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

Terima kasih PDRM dan seluruh petugas keselamatan. Jasa anda amat dihargai.