Tiga negara OIC antara pengeksport ekonomi halal terbaik

in Bisnes by

Gambar hiasan

TURKIYE merupakan antara negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang disenarai sebagai 20 pengeksport ekonomi halal terbaik dunia, menurut laporan yang dikeluarkan oleh pertubuhan antara kerajaan itu pada Selasa.

Indonesia dan Malaysia adalah dua lagi negara anggota yang turut tersenarai dalam kategori ini, menurut Laporan Tahunan Ekonomi Halal OIC 2022.

Laporan itu dilancarkan di Istanbul di luar mesyuarat ke-38 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) yang berlangsung selama empat hari, lapor Agensi Anadolu.

Bagaimanapun, laporan oleh Pusat Pembangunan Perdagangan Islam (ICDT) itu memaklumkan, anggota OIC merekodkan defisit perdagangan sebanyak AS$63 bilion bagi produk halal tahun lepas.

Eksport itu meliputi makanan, fesyen, farmaseutikal dan kosmetik, dengan eksport menyamai AS$275 bilion dan import berjumlah AS$338 bilion, menurut laporan itu.

“Hanya 18 peratus daripada import ini diperoleh daripada intra-OIC, manakala hanya tiga negara OIC (Turkiye, Indonesia dan Malaysia) berjaya tersenarai 20 pengeksport produk ekonomi halal,” menurut laporan itu, yang disediakan oleh penyelidikan pasaran yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan firma penasihat DinarStandard.

Ketua Pengarah ICDT, Latifa el Bouabdellaoui berkata, laporan itu bertujuan untuk ‘memberi inspirasi dan memperkasakan negara-negara OIC untuk bertindak secara kohesif, menggalakkan pertumbuhan inklusif dan meningkatkan syer OIC dalam ekosistem perdagangan dan pelaburan halal berasaskan integriti dan tujuan’.

Laporan itu mendedahkan anggota OIC mengeksport produk pakaian dan kasut berjumlah AS$101.94 bilion tahun lepas, manakala blok Islam itu mengimport sebahagian besar makanan, farmaseutikal dan kosmetik.

Turkiye termasuk Arab Saudi dan Indonesia, adalah antara tiga pasaran teratas dalam sektor pendidikan tinggi Islam, serta menurut laporan itu ‘penting untuk mendidik industri dan pemain rantaian bekalan halal’. – Bernama