Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja

in Nasional by

Al-Sultan Abdullah (kiri) bersama Tuanku Muhriz dan Raja-raja Melayu berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara pada Rabu. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, pada Rabu.

Mesyuarat itu sekali lagi dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, di sini.

Mesyuarat selama dua hari bermula Selasa itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lepas yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Tuanku Syed Sirajuddin; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah ,Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, selain dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir di mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier. – Bernama