Al Nassr gamit Ronaldo

in Sukan by

Cristiano Ronaldo FOTO: EPA

BEKAS bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dilaporkan semakin menghampiri destinasi baharunya kelab gergasi Arab Saudi, Al Nassr setelah bersetuju dengan perjanjian £173 juta setahun.

Pemain Portugal yang kini ejen bebas selepas meninggalkan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United awal bulan ini susulan temu bual kontroversi dengan Piers Morgan.

Sebelum ini sejumlah kelab dikaitkan berminat mendapatkan khidmat bekas peledak Juventus, Real Madrid dan Sporting Lisbon itu selepas pengumuman Ronaldo akan meninggalkan Old Trafford.

Salah satu daripada kelab itu Al-Nassr yang sebelum ini telah pun mengemukakan tawaran kepada ejen Ronaldo, Jorge Mendes.

Menurut Marca, Ronaldo bersetuju dengan perjanjian dua tahun setengah bersama kelab kendalian Rudi Garcia tersebut.

Sepanjang tempoh kontrak itu, Ronaldo yang bermain sehingga usia 40-an akan memperoleh £172.9 juta (RM922 juta) setahun – jumlah yang tidak mungkin untuk mana-mana kelab Eropah atau MLS yang berminat untuk mendapatkan penyerang itu.

Bakal majikan Ronaldo, Al-Nassr, kini menduduki tempat kedua Liga Pro Saudi menang enam perlawanan selepas mengharungi lapan perlawanan liga musim ini.

Ronaldo bakal mengemudi Portugal kendalian Fernando Santos berdepan Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City pada Jumaat.