Angkat pemimpin wanita dalam kabinet Kerajaan Perpaduan

in Politik by

SHAH ALAM – Jawatankuasa Pemantauan PRU15 (PantauPRU15) menggesa agar kepimpinan politik wanita diberi mandat dan peluang sewajarnya sebagai ahli kabinet atau jemaah menteri di dalam pembentukan kerajaan baharu.

PantauPRU15 dalam satu kenyataan berkata, selain mengharapkan sebuah kabinet atau jemaah menteri yang dipilih adalah individu berbakat, berkemahiran dan berilmu yang mewakili kepelbagaian masyarakat, kerajaan baharu seharusnya tidak meminggirkan golongan kepimpinan wanita yang berpengalaman.

Kata kenyataan itu, gesaan itu dibuat berdasarkan populasi kaum wanita negara ini yang merupakan hampir 50 peratus penduduk Malaysia, maka selayaknya golongan wanita berwibawa diberi kepercayaan setimpal.

Menurutnya, perkara tersebut juga selari dengan dasar afirmatif Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam badan perundangan dan eksekutif.

“Gesaan ini bersandarkan kajian yang menunjukkan penglibatan dan perspektif wanita dalam kepimpinan negara yang berjaya meningkatkan mutu pembuatan keputusan dan pulangan hasil yang amat baik.

“Pencapaian meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus kaum wanita dalam kepimpinan negara akan memperbaiki imej Malaysia di mata antarabangsa daripada segi kedudukan kepimpinan politik dalam Indeks Jurang Gender Dunia.

“Sungguhpun suara wanita diwakili hanya oleh 30 orang wakil rakyat dalam Parlimen, namun kebolehan mereka sebagai pemimpin tidak boleh diragui dan masing-masing mempunyai rekod prestasi yang cemerlang,” kata kenyataan itu.

Untuk itu PantauPRU15 berkata, pihaknya menggesa pertimbangan yang sewajarnya untuk melantik 18 orang ‘Yang Berhormat’ wanita bagi menjawat tugas Menteri dan Timbalan Menteri.

Selain itu katanya, demi memperkukuh perpaduan, PantauPRU15 mencadangkan pemimpin wanita daripada parti pembangkang yang mempunyai pengalaman dan latar belakang kepimpinan yang baik dipertimbangkan untuk diberikan jawatan mengikut kapasiti masing-masing.

Tambah kenyataan itu lagi, memandangkan perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat sebanyak 13.5 peratus sahaja, PantauPRU15 berharap lebih ramai pemimpin wanita dilantik sebagai Senator di Dewan Negara.

Menurutnya, berdasarkan statistik lalu, terdapat hanya lapan orang wanita iaitu sebanyak 18 peratus daripada 46 orang Senator yang dilantik.

“Sesungguhnya, PantauPRU15 berpandangan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir baru-baru ini dilihat mempunyai hikmah tersendiri apabila tertubuhnya Kerajaan Perpaduan dengan semangat pembaharuan luar biasa.

“Maka diharap tata kelola baharu pasca PRU-15 ini akan memberi kesan besar termasuk pelaksanaan peningkatan inklusiviti gender demi kepentingan dan kemajuan negara,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, PantauPRU15 menaruh harapan penuh agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menumpukan perhatian kepada proses penyatuan semula rakyat Malaysia sebagai sebuah bangsa berjaya, setelah proses kempen pilihan raya dilihat agak sedikit tegang dengan isu perkauman.

Sehubungan itu tegas kenyataan itu, rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang inklusif dalam agenda pengukuhan perpaduan, pemacuan perkembangan ekonomi dan jaminan keadilan bersandarkan Perlembagaan Persekutuan.