Banjir di Hilir Perak makin buruk

in Edisi by

Anggota APM membantu penduduk kampung berpindah ke lokasi lebih selamat akibat banjir di Batu 9, Simpang Tiga pada Rabu. – Foto ihsan APM

IPOH – Keadaan banjir di daerah Hilir Perak makin buruk apabila lebih ramai mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 4 petang pada Rabu, seramai 130 orang daripada 35 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

Kesemua mereka dari Kampung Batu 7, Lorong Mesra dan Batu 9, Simpang tiga itu dipindahkan selepas kediaman masing-masing dinaiki air mencecah 0.5 meter.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan, PPS berkenaan telah dibuka sejak Isnin lepas bagi menempatkan 23 mangsa daripada empat keluarga.

Bagaimanapun, keadaan hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan kediaman lain turut dinaiki air.

Penambahan mangsa itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Perak meningkat kepada 312 orang membabitkan 92 keluarga.

Selain daerah Hilir Perak, daerah Manjung turut terlibat banjir dengan 182 mangsa masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai sejak 15 November lalu.

Mangsa daripada 57 keluarga itu tidak dibenarkan pulang berikutan fenomena banjir termenung yang masih berlarutan menyebabkan paras air tidak surut.