Bekas Presiden China, Jiang Zemin meninggal dunia

in Global by

Zemin meninggal dunia kerana penyakit leukemia dan kegagalan pelbagai organ pada Rabu. – Foto: Agensi

BEIJING – Bekas Presiden China, Jiang Zemin yang diangkat sebagai revolusioner komunis yang mengemudi negara itu melalui era transformasi bermula lewat 1980-an menuju ke alaf baharu meninggal dunia di usia 96 tahun pada Rabu.

“Beliau menghembuskan nafas terakhir kerana penyakit leukemia dan kegagalan pelbagai organ pada jam 12.13 tengah hari (waktu tempatan) di Shanghai,” lapor agensi berita Xinhua.

Zemin mengambil alih kuasa daripada kepimpinan Deng Xiaoping pada 1989 setelah insiden tragedi berdarah di Dataran Tiananmen dan memimpin China sehingga muncul sebagai kuasa besar disegani di pentas global.

Ketika proses peralihan kuasa itu, Beijing masih berada di peringkat awal pemodenan ekonomi.

Menjelang persaraannya sebagai Presiden pada 2003, China telah menjadi anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) selain diberi penghormatan menjadi tuan rumah Olimpik 2008.

Menurut penganalisis, ‘geng Shanghai’ beliau terus memberi pengaruh kepada politik komunis termasuk pemilihan Presiden Xi Jinping sebagai Presiden pada 2012.

Bagaimanapun, kuasa Zemin dilaporkan semakin berkurangan apabila pengaruh Jinping semakin meningkat yang menyaksikan beliau menjadi tokoh politik paling berkuasa sejak Mao Zedong dan memecah norma pemimpin Parti Komunis China (CPC) serta kekal memerintah untuk penggal ketiga.

Susulan pemergian pemimpin tersohor Beijing itu, bendera di pejabat kerajaan dan CPC akan dikibarkan separuh tiang sebagai memberi penghormatan kepadanya.

Arahan tersebut dikeluarkan jawatankuasa pengurusan majlis pengebumian Zemin berkuat kuasa pada Rabu sehingga tarikh untuk upacara persemadian beliau yang bakal diumumkan kelak. – AFP