Berita palsu, fitnah memudaratkan negara: Ahmad Zahid

in Nasional by

Ahmad Zahid

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penyebaran berita palsu dan fitnah adalah bahaya kerana boleh menimbulkan syak wasangka buruk dan amarah, sekali gus memberi kemudaratan kepada negara.

Justeru, beliau meminta semua pihak agar menghindari perkara tersebut kerana ia juga boleh menjadi punca keruntuhan tamadun bangsa.

“Bahaya penyebaran berita palsu dikupas oleh penceramah wajar menyedarkan kita semua.

Jangan kerana amarah kita mengenepikan hukum Allah dan rela kemudaratan besar berlaku di negara kita.

“Elakkan berita palsu dan fitnah kerana ia telah dan akan menjadi punca keruntuhan tamadun bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Ahmad Zahid turut melampirkan satu klip video berdurasi 11 minit 49 saat yang disiarkan di Facebook Islam Za.

Dalam klip video itu, penceramah Datuk Badli Shah Alauddin ada menyentuh tentang kesan buruk berkaitan penyebaran berita palsu dan fitnah yang memusnahkan tamadun dan kesultanan Melayu.