Cabaran ibu tunggal teruskan kehidupan

in Edisi by

Norakmasuliza sedang menyediakan yong tau fu untuk pelanggan di kedai miliknya.Suriani tekun menyiapkan pakaian yang ditempah pelanggan.Nurul Jannah menyiapkan karipap yang akan dihantar ke kedai di sekitar Temerloh.

RUANGAN Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah dihadapi wanita bergelar ibu tunggal yang berdepan pelbagai kesukaran khususnya untuk kembali bangkit selepas berubah status.

Kebanyakan ibu tunggal yang ditemui mendakwa mereka lebih banyak berdikari menggunakan kudrat sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak, selain kenaikan kos sara hidup menambahkan lagi bebanan mereka.

Malah ada yang mendakwa mereka tidak mengetahui kewujudan persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu dan membela nasib mereka.

Ikuti laporan ROSILAWATI ROSEDI yang menemu bual beberapa ibu tunggal di Temerloh, Pahang berhubung isu tersebut.

Bergelar ibu tunggal bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh wanita, namun jika sudah takdir mereka akur dengan status tersebut dan tetap meneruskan kehidupan.

Di Malaysia, Laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci Malaysia 2020) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan jumlah ibu tunggal di negara ini hampir mencecah satu juta orang.

Dalam meneruskan kehidupan, kebanyakan mereka mendakwa berdepan pelbagai kesulitan, namun itu tidak melemahkan semangat untuk kembali bangkit khususnya demi anak-anak.

Bagi seorang ibu tunggal, Nurul Jannah Abdul Kadir, 35, kenaikan kos sara hidup yang dialami kini menyebabkan dia terpaksa membuat dua kerja untuk menampung kehidupan bersama empat anaknya yang berusia antara lima hingga 16 tahun.

Nurul Jannah berkata, setiap hari dia menghasilkan kuih-muih untuk dihantar ke kedai-kedai berhampiran selain bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Bergelar ibu tunggal sejak empat tahun lalu, kata Nurul Jannah, walaupun dia memperoleh secara purata RM100 sehari hasil dua pekerjaan tersebut, jumlah itu masih belum mencukupi memandangkan dua anaknya tinggal di asrama iaitu di Melaka dan di daerah ini.

“Memang saya ada dapat bantuan bulanan RM500 bermula tahun lepas selepas beberapa kali berulang alik ke agensi terlibat.

“Saya ada hasrat nak buka gerai atau kios sendiri tapi tak berani nak buat pinjaman takut tak mampu bayar bulanan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Jannah mengakui tidak mengetahui kewujudan persatuan atau NGO yang boleh membantu ibu tunggal sepertinya.

“Tak pernah lagi ada orang beritahu ada persatuan sebegini memandangkan saya lebih banyak berdikari selama ini,” dakwanya.

**media[2004851]**

Sementara itu, bagi Norakmasuliza Abdul Kadir, 44, situasinya sedikit sukar memandangkan dia tidak mendaftarkan perkahwinannya di negara ini menyebabkan dirinya berdepan pelbagai kesulitan.

Membuka kedai makan di Temerloh, ibu kepada dua cahaya mata berusia lapan dan 10 tahun itu bergelar ibu tunggal sejak tiga tahun lalu.

“Saya akui kesilapan saya dan tabah teruskan kehidupan bersama anak-anak. Rasa tertekan itu memang ada memandangkan dalam situasi kini, kenaikan kos barang menyebabkan saya sukar membuat pusingan modal.

“Orang luar mungkin nampak macam seronok meniaga tapi hakikatnya saya berdepan pelbagai masalah terutamanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, pelanggan kurang kemudian banjir besar tahun lalu, saya tidak mendapat bantuan kewangan dan tenaga,” dakwanya.

Ujar Norakmasuliza, dia berharap dapat bantuan modal khususnya untuk meneruskan dan membesarkan lagi perniagaannya.

“Saya tahu situasi yang dihadapi ibu tunggal, jadi saya turut membantu mereka dengan menyewakan tapak dalam kedai makan saya dengan kadar sewaan rendah, boleh kata majoriti yang menyewa tapak adalah ibu tunggal,” jelasnya.

Suriani Husin, 34, pula menyifatkan masalah birokrasi yang dihadapi sepanjang proses perceraian menyebabkan dia tertekan kerana terpaksa mengambil masa beberapa tahun untuk mengesahkan perceraiannya.

**media[2004852]**

“Saya ambil peguam untuk menyelesaikan proses ini dan terpaksa mengeluarkan kos ribuan ringgit juga.

“Syukur semuanya sudah selesai. Kini saya tinggal bersama dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun dengan meneruskan kehidupan sebagai tukang jahit,” ujarnya.

Namun Suriani mengakui, kenaikan harga barangan menyebabkan harga tempahan bajunya dinaikkan baru-baru ini hingga RM5 sepasang untuk setiap rekaan.

“Situasi menekan bermula apabila tempahan baju semakin berkurangan sejak PKP lalu.

“Hanya pada musim perayaan seperti Aidilfitri baru-baru ini, boleh bernafas sikit. Kini pendapatan bulanan saya paling rendah dapat bawah RM1,000,” jelasnya yang turut mendakwa tidak mengetahui kewujudan persatuan untuk ibu tunggal sepertinya.