Celcom catat prestasi kukuh

in Bisnes by

Celcom mencatatkan prestasi kukuh dan telah melabur lebih daripada RM1.8 bilion untuk menampung
pertumbuhan yang ketara bagi permintaan trafik.IDHAM

CELCOM Axiata Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat sebanyak 65.3 peratus pada suku ketiga 2022 kepada RM856 juta walaupun telah diimbangi dengan cukai yang lebih tinggi berbanding daripada Cukai Makmur.

Celcom dalam satu kenyataan berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga meningkat sebanyak meningkat 12.4 peratus iaitu sebanyak RM2,288 juta yang disokong oleh pengurusan kos berterusan yang menyebabkan perbelanjaan operasi (opex) serta pemulihan hutang yang lebih rendah.

“Celcom merekodkan prestasi kukuh pada suku ketiga 2022 dengan mencatatkan hasil (tidak termasuk peranti) meningkat sebanyak 3.9 peratus setakat ini (YTD) kepada RM4,578 juta dipacu oleh hasil prabayar serta sumbangan daripada anak syarikat enterprise yang baharu,” jelas kenyataan itu.

**media[2005507]**

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi berkata, prestasi kukuh Celcom sepanjang suku tahun merupakan hasil daripada program transformasinya meliputi setiap bahagian organisasi iaitu dari GTM kepada cara merancang serta mengoperasi rangkaian termasuklah cara pengurusan asas kos.

“Kami telah memberikan prestasi kewangan yang cemerlang merentas kesemua metrik utama sambil memperoleh saham pasaran bagi bahagian pasaran yang sangat kompetitif dan persekitaran makro yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tiga tahun lalu, Celcom telah melabur lebih daripada RM1.8 bilion untuk menampung pertumbuhan yang ketara bagi permintaan trafik.

“Trafik data meningkat kepada 73 peratus dengan 1,778 terabait (TB) berbanding dengan 1.025 TB iaitu tiga tahun yang lalu. Purata penggunaan data bulanan setiap pengguna juga telah meningkat sebanyak 75 peratus dengan 26.2 gigabait (GB) pada suku ketiga 2022 berbanding dengan suku pertama 2020 iaitu sebanyak 14.9GB.

“Trend penggunaan data kini pada tahap stabil dengan peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding suku sebelumnya,” katanya.

Idham berkata, produk dan perkhidmatan Celcom kekal mampu milik kepada pelanggannya terutama pelan Prabayar Tanpa Had walaupun terdapat peningkatan dalam penggunaan data.

“Pengalaman rangkaian kami juga berdaya tahan dengan mencatat penambahan pelanggan sebanyak sejuta pelanggan baharu, meningkatkan kelajuan purata memuat turun sebanyak 49 peratus serta pengurangan aduan pelanggan dan insiden gangguan rangkaian dengan ketara.

“Transformasi Celcom membolehkan kami menjadi lebih efektif dalam menggunakan perbelanjaan modal dalam rangkaian (Network Capex) dan pengurangan kos yang telah ditambah baik sebanyak 28 peratus menghasilkan penjimatan sebanyak RM733 juta,” tambah Idham.

Beliau berkata, perjalanan transformasi Celcom telah menjadikan organisasinya lebih kuat dan berdaya tahan dan memulakan penggabungan bersama-sama Digi dengan momentum yang positif.

“Kami berhasrat supaya syarikat yang digabungkan akan terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan mampu milik, menghubungkan lebih rakyat Malaysia seluruh negara,” kata Idham.