Darren berazam beri aksi terbaik di Piala AFF

in Sukan by

Darren Lok

PENYERANG kebangsaan Darren Lok berazam untuk beraksi dengan baik di Piala AFF 2022, selepas dipanggil untuk menyertai Harimau Malaya bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada 9 dan 14 Disember.

Penyerang Petaling Jaya City berusia 32 tahun itu telah menarik perhatian pengendali Kim Pan-gon, untuk menyertai latihan pusat bermula semalam, sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi kejohanan AFF itu.

“Saya teruja untuk pengalaman yang positif untuk kejohanan itu selepas menyertainya buat kali pertama pada 2016, ketika kesemuanya tidak menjadi seperti yang diharapkan.

“Saya mahu berikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan selepas saya terpaksa menarik diri pada edisi AFF sebelum ini akibat kecederaan,” kata Darren kepada media selepas sesi latihan pada Rabu.

Darren berkata pada ketika ini beliau dalam keadaan terbaik bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan, dan berharap prestasinya akan berterusan sehingga ke kejohanan itu kelak.

“Saya akan berusaha untuk cergas dan dapat membantu pasukan kebangsaan… selagi saya boleh menyumbang kepada pasukan dalam apa cara apa pun, saya gembira untuk dapat lakukannya,”katanya.

Ketika ditanya mengenai muka baharu dalam pasukan kebangsaan, Darren berkata pemain baharu dapat sesuaikan diri dengan beliau, dalam persediaan bagi perlawanan persahabatan yang akan datang.

“Tentu sekali pasukan ini berbeza daripada pasukan sebelum ini, dan kami mempunyai masa yang mencukupi untuk memahami cara permainan mengikut cara jurulatih dan bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

Malaysia akan berhadapan Kemboja dan Maldives sebagai sebahagian daripada persediaan Harimau Malaya sebelum Piala AFF 2022, yang akan bermula 20 Disember.