Indeks harga pengeluar terus menyederhana pada Oktober

in Nasional by

Gambar hiasan

SHAH ALAM – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran tempatan terus menyederhana kepada 4.0 peratus pada Oktober 2022 berbanding 4.9 peratus direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan menyederhana itu disumbangkan oleh kenaikan 7.3 peratus dalam indeks pembuatan (September 2022: 8.1 peratus).

IHPR adalah petunjuk yang mencerminkan kos di pihak pengeluar serta memberi bayangan bahawa pengguna akan terpaksa membayar lebih apabila membeli barangan siap sekiranya indeks itu melonjak tinggi.

“Peningkatan 4.0 peratus dalam IHPR pada Oktober 2022 ini turut dipengaruhi oleh kejatuhan dua sektor utama iaitu pertanian, perhutanan dan perikanan dan perlombongan.

“Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan merekodkan penurunan lebih besar pada Oktober 2022 dengan negatif 18.2 peratus(September 2022: -15.5 peratus) dipengaruhi oleh indeks penanaman tanaman kekal (-28.7 peratus)namun diimbangi dengan kenaikan 4.9 peratus dalam indeks pengeluaran ternakan, penanaman tanaman tidak kekal (2.8 peratus) dan perikanan (2.1 peratus).

“Selain itu, indeks perlombongan mencatatkan penurunan negatif 0.5 peratus disebabkan oleh kejatuhan negatif 10.6 peratus yang direkodkan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohd Uzir, bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan naik0.1 peratus pada Oktober 2022 selepas mencatatkan penurunan selama empat bulan berturut-turut.

Peningkatan ini katanya, disumbangkan oleh indeks perlombongan yang naik 5.0 peratus (September 2022: -4.9 peratus), selari dengan kenaikan harga minyak mentah dunia kepada AS$90.3 (RM404.14) setong pada Oktober 2022 berbanding AS$88.2 (RM394.74)setong pada September 2022.

“Namun begitu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan turun negatif 2.0 peratus pada Oktober 2022 (September 2022: -5.3 peratus), dipacu antaranya oleh kejatuhan harga buah tandan segar kelapa sawit (-3.1 peratus ), durian (-5.8 peratus) dan telur ayam (-0.8 peratus).

“Selain itu, produk sayur-sayuran turut mencatatkan penurunan antaranya tomato (-6.3peratus); sawi (-6.0 peratus); kubis bulat (-4.4 peratus); kacang panjang (-4.3 peratus) dan kacang bendi (-2.7 peratus),” katanya.

Pada masa sama katanya, indeks pembuatan turun negatif 0.2 peratus(September 2022: -0.7 peratus) disumbangkan oleh penurunan dalam indeks subsektor pembuatan kimia dan produk kimia (-2.0 peratus), pembuatan produk makanan (-1.7 peratus) dan pembuatan logam asas (-0.3 peratus)

Namun ia diimbangi dengan peningkatan dalam indeks subsektor pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (1.3 peratus) dan pembuatan komputer,produk elektronik dan optikal (0.3 peratus).