Isu ejen Israel: Abdul Hadi sedia dipanggil Bukit Aman

in Politik by

Abdul Hadi (tengah) pada sidang akhbar selepas ceramah perdana di bandar baru Rompin pada malam Selasa.

ROMPIN – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia untuk dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman berhubung dakwaan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Beliau menjelaskannya secara terbuka untuk disiasat oleh pihak polis, jika benar beliau ada membuat dakwaan sedemikian.

“Saya boleh pergi ke Bukit Aman, tiada masalah. Saya terbuka untuk siasatan. Tapi sekarang ini tiada panggilan daripada Bukit Aman,” katanya ringkas ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai isu dakwaan Anwar sebagai ejen Israel selepas berakhirnya ceramah perdana di bandar baru Rompin pada tengah malam Selasa.

Pada Selasa, Ketua AMK Putrajaya, Mohamad Syazreen Ezam Mohd Saidi membuat laporan polis di IPD Putrajaya berkaitan fitnah terhadap Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berkenaan yang mengaitkannya dengan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad.

Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan fitnah).

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Abdul Hadi menjelaskan tiada ucapan sedemikian dibuat ketika beliau berceramah.

“Saya tidak kata, dia (pihak yang mendakwa saya menunduh Anwar) yang kata, serah kepada dia. Bukit Aman tahu saya tidak kata.

“Ceramah saya dirakam, kenyataan media (akhbar) saya Bukit Aman baca. Saya kata ke tidak kata itu terpulang. Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman,” ujar beliau lagi.