Jack Ma 'bersembunyi' di Jepun?

in Global by

Jack Ma

LONDON – Pengasas Alibaba, Jack Ma menetap di Tokyo selama hampir enam bulan selepas beliau dilaporkan menghilangkan diri setelah China melancarkan tindakan keras terhadap sektor teknologi.

Lokasi persembunyian Ma didedahkan Financial Times (FT) pada Rabu memetik beberapa sumber selepas bilionair tersebut memilih untuk menjalani kehidupan secara ‘low profile’.

“Sepanjang tempoh hampir setengah tahun lalu, beliau tinggal di ibu kota Jepun dan beberapa bahagian lain di negara itu bersama keluarganya. Ma turut berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) dan Israel,” menurut laporan FT.

Akhbar berpusat di Britain itu turut mendedahkan Ma sering mengunjungi beberapa kelab persendirian di Tokyo dan menjadi pengumpul hasil seni moden tempatan selain mencari peluang untuk mengembangkan kepentingan perniagaannya.

Sejak kehilangannya dilaporkan secara meluas, Ma juga pernah dilihat di Pulau Mallorca di Sepanyol pada tahun lalu.

Pada Julai lalu, terdapat laporan yang mendakwa Ma merancang untuk menyerahkan kawalan syarikat sekutunya, Ant Group sebagai usaha meredakan ketegangan dengan Beijing dan menghidupkan semula tawaran awam permulaan (IPO) yang digantung.

Sejak beberapa tahun, Beijing bertindak tegas terhadap amalan antipersaingan oleh segelintir nama besar di negara itu yang didorong oleh kebimbangan jika syarikat gergasi teknologi utama mengawal sejumlah besar data. – AFP