Jawatan TPM: Anwar perlu pinda perlembagaan terlebih dahulu

in Nasional by

ALOR SETAR – Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disyorkan melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, transformasi itu bagi membolehkan jawatan nombor dua dalam negara diangkat martabatnya selari dengan fungsinya untuk disenaraikan secara rasmi dalam Perlembagaan negara.

Menurutnya, jawatan berkenaan perlu diberikan nilai tambah dan wajar diberikan pengiktirafan lebih tinggi sebelum diisi oleh pemimpin yang benar-benar layak.

“Jika hendak wujudkan jawatan TPM perlu ubah terlebih dahulu Perlembagaan. Sekiranya jawatan itu masih sekadar istilah tanpa nilai apa gunanya?

“Saya percaya Perdana Menteri ikhlas dalam pelantikan jawatan (TPM) tersebut dan sudah tiba masanya negara perlu lakukan paradigma peralihan, bukan sekadar lantikan tanpa mempunyai kuasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Ahmad Zaharuddin tegaskan, jawatan TPM tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, hanya terdapat jawatan Perdana Menteri dan jemaah menteri kabinet.

“Selama ini pun, kita lihat pemimpin yang dipilih tidak pernah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya syorkan kalau kita hendak lantik seseorang ke jawatan tersebut, perlulah dibuat secara rasmi kepada jawatan itu. Maksudnya perlukan Rang Undang-Undang baharu ataupun klausa Perlembagaan yang mengesahkan kewujudan TPM termasuklah fungsi dan peranan jawatan berkenaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar dalam satu sidang media menyatakan jawatan TPM dijangka diberikan kepada blok terkuat lain dalam Kerajaan Perpaduan, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jelasnya, ia merupakan amalan biasa dalam setiap kerajaan.

Mengulas perkara itu, Ahmad Zaharuddin berkata, ramai penganalisis beranggapan perlu diwujudkan lebih daripada satu jawatan TPM, yang mana salah satu daripadanya diberikan kepada blok Borneo.

“Kalau mahu lantik daripada wakil Borneo sekalipun untuk memastikan kebajikan dan pembangunan terjaga dengan kehadiran menteri yang menjaga hal-hal berkaitan Borneo, apa bezanya dengan fungsi Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Itu juga adalah pemberat yang cukup baik. Apa rasionalnya ditawarkan jawatan TPM sekalipun kalau tidak mempunyai pemberat terhadap jawatan tersebut,” soalnya.